Selasa, 27 Januari 2026

Pasang Shower Untuk Dua Bilik Mandi Luar

Assalamualaikum dan selamat pagi. Selamat menjalani kehidupan dengan ceria. Moga semua semua urusan kita dipermudahkan. Fikir punya fikir akhirnya terpasang juga shower di dua bilik mandi ini. Sebenarnya bilik mandi ini jarang guna kerana berada di luar rumah. Jadi ia kurang mendapat sambutan.

Bila nak guna rasa ragu-ragu dengan kualiti air yang disimpan dalam bekas. Mungkin ada kotoran dan haiwan yang tidak sepatutnya kerana jarang guna. Oleh itu rasa tidak selamat untuk gunakan air yang disimpan itu.

Oleh itu upah tukang untuk pasang shower agar boleh digunakan bila-bila masa pun. Memang sangat dipermudahkan. Bila mesej tukang dia terus on untuk buat. Terkejut juga tak busy pula tukang berbanding sebelum ini.


Mula-mula nak buat satu bilik mandi sahaja tetapi buat shower paling simple ianya menjadi murah sedikit. Jadi apa salahnya buat dua bilik mandi terus.

Harga barang dan termasuk upah RM150. Kekurangannya pula ialah air kurang laju dan juga hanya satu 🚿 sahaja boleh guna dalam satu masa. Jika guna dua-dua air memang perlahan sangat.

Ahad, 25 Januari 2026

Hasil Halia dari Dua Buah Pasu

Assalamualaikum dan selamat petang. Hasil halia dari dua buah pasu. Pokoknya sudah tua dan hampir mati, jadi kenalah korek halianya juga. Lagipun pernah terlihat entri di blog lain mengatakan halia akan reput jika tidak diambil. Pagi tadi korek dan inilah hasilnya.

Halia daripada pokok yang mengeluarkan bunga dahulu. Boleh klik di sini untuk lihat entri bunga halia. 

Setelah buang akar, tanah dan dibasuh bersih. First time dapat hasil banyak begini.

Letak dalam plastik dan simpan tempat beku. Harap tahan lama sebab guna sedikit sahaja dalam masakan setiap kali masak.

Rabu, 21 Januari 2026

Tebu Nan Sebatang

Assalamualaikum dan selamat pagi. Selamat mencari rezeki yang berkat diawal pagi. Bila tengok tebu teringat kembali zaman kecil dahulu. Petang-petang bila lapar tebulah yang kami cari. Buang kulit dan potong bagi kecil sedikit. Kunyah untuk dapatkan air manisnya. Hampas dibuang ke tanah. Nikmat manis air tebu. Abah kata boleh cuci gigi sekali. Masa kecil asyik lapar sahaja. Nampak buah jambu pun sanggup panjat.


Kini, abah ada tanam sedikit tebu di tepi rumah. Abah bagi suruh makan. Potong buang kulit rasa tak sanggup nak makan. Risau gigi patah...haha.. Itulah nama sudah meningkat usianya. Makan sedikit sahaja untuk rasa. Kurang manis mungkin tidak terlalu kuning kulitnya. Simpan dalam peti jika ada yang ingin merasa.