Sabtu, 25 Februari 2023

Rantai Tangan Rasa Tidak Selesa

 Assalamualaikum dan selamat malam. Ingat tak entri yang lepas iaitu reward untuk diri sendiri. Saya membeli rantai tangan. Sebenarnya ada kisah yang seterusnya. Nak tengok entri boleh klik di sini. Kisahnya begini, saya telah pakai rantai tangan tersebut tetapi rasa terlalu panjang dan tidak selesa. Beberapa hari kemudian pergi semula ke kedai emas tersebut untuk potong satu sahaja kepingan. Bila dipendekkan saya dapat duit kembali RM180 kerana menjual kepingan emas tersebut. 

Bila terkena air rantai tersebut rasa ketat sangat dan sukar untuk mengambil wuduk. Oleh itu, saya terpaksa tanggalkan rantai tersebut dan tidak mahu memakainya lagi kerana rasa terlalu ketat. Tak menyesal pun potong kerana jika tidak potong saya asyik teringat dan tetap rimas. Mungkin saya ditakdirkan tidak memiliki rantai tersebut. Alhamdulillah adik sudi membelinya. Jika tidak saya akan simpan sampai bila-bila buat harta karun.

Mungkin tasbih ini sahajalah yang sesuai untuk saya buat masa ini dengan beristighfar dan berzikir pada Allah. Semoga Allah memberi ketenangan dan kebahagiaan padaku. Amin...

La gourmet® Hydration Bottle Giveaway by anies

 Assalamualaikum dan hai semua. Jalan-jalan di blog orang terjumpa giveaway yang dianjurkan oleh Anies. Lama betul tak masuk giveaway, boleh juga cuba nasib jika ada rezeki.

 Saya kurang kenalan di blog jadi saya tag secara rawak sahaja iaitu Suria Amanda, ShirVen dan juga Warisan Petani. Nak join klik pada imej.

Isnin, 20 Februari 2023

Kek Hari Lahir Adik Angkat

 Assalamualaikum dan selamat malam. Tiada mood untuk menulis blog malam ini. Godek-godek laptop jumpa gambar kek di bawah. Tak pasti tahun 2021 atau 2022. Pemberian saya untuk adik angkat. Kek saya tempah dengan Cikgu Aisyah, kemudian diambil sendiri oleh adik angkat.

26 Februari 2023, adik angkat akan bertunang dengan pilihan hatinya yang tinggal di Kuala Kangsar. Semoga majlis pertunangan berjalan dengan lancar. Semoga Allah mempermudahkan segalanya. Amin.. Tahniah diucapkan :)

Ubi Kayu Hasil Tanaman Belakang Rumah

 Assalamualaikum dan selamat petang semua. Pernah makan ubi kayu tak? Kalau masa kecil memang selalu sangat makan ubi kayu. Sekarang ini susah sikit nak dapat kerana khinzir suka kacau pokok ubi kayu yang ditanam. Tak sempat kita nak makan, dia yang ambil dulu.

Ubi kayu ini abah yang tanam di belakang rumah. Alhamdulillah menjadi. Tetapi ini gambar lama bukan yang terkini. Cerita kembali sahaja.

Ubi kayu sedap dibuat kuih bingka, talam ubi kayu, lepat, cucur dan pelbagai lagi.

Dalam peti ais masih ada ubi kayu yang telah diparut. Tak pasti nak buat kuih apa. Esok-esoklah kita fikirkan..hihi..

Ahad, 19 Februari 2023

Makanan yang Pernah Dimasak

 Assalamualaikum dan selamat pagi semua. 1 hari 1 entri jika berkesempatan. Entri kali ini berkaitan makanan yang pernah dimasak pada masa yang lepas. Godek-godek laptop rasa sayang nak buang sebelum disiarkan. Simpan untuk kenangan diri sendiri. Semoga terhindar dari dosa jika yang tidak senang melihatnya. Bukan niat  untuk menunjuk tetapi sebagai kenangan sendiri.

Ini kek pandan bersantan. Saya cuba banyak kali juga baru berhasil jadi begitu. Jika tidak ia tidak masak di tengah. Jika anda hendak mencubanya boleh klik di sini.
Kek kedua ini juga merupakan kek pandan tetapi tidak letak santan. Kemudian letak krim dan coklat ganache di atasnya.
Kek ini dibuat hasil dari bahan-bahan lebihan kek yang ada. Jadi ini namanya kek cincai jadi saya tak tulis resipi. Kek yang direka sendiri sahaja menggunakan bahan yang ada.
Ini pula merupakan roti berbentuk cendawan. Pahit bila makan di luarnya sebab menggunakan serbuk koko. Untuk nampak jadi real cendawan sahaja. Nak resipi boleh klik di sini.
Makanan yang terakhir ialah kek batik indulgence. Nampak comot sikit tapi rasanya memang sedap.
Nak potong dia memang rumit sikit kena guna pisau yang tajam dan dipanaskan. Gambar selepas dipotong memang tiada sebab orang kedah kata belemuih sangat.. hihi.. Nak tengok resipi klik di sini. Sekian..

Sabtu, 18 Februari 2023

Reward Untuk Diri Sendiri

 Assalamualaikum dan selamat malam. Alhamdulillah selesai sudah membeli untuk reward diri sendiri. Setelah pelbagai ujian yang berlaku, diri ini terasa amat sedih dan resah gelisah. Sahabat saya semasa di universiti berkata jika nak gembira selain istighfar, dekatkan diri pada Allah, buat solat-solat sunat iaitu solat sunat taubat dan hajat, bersedekah serta melakukan amal jariah. Perkara lain yang boleh menggembirakan hati ialah pergi berjalan-jalan dan juga membeli apa-apa barangan yang diinginkan.

kedai emas

Oleh itu saya rasakan membeli barang kemaslah yang patut untuk diri sendiri kerana nilainya yang tinggi dan sukar diperolehi. Perlu kumpul duit berbulan-bulan baru boleh membelinya. Selain itu, tidak rugi jika membeli barang kemas kerana jika tiada wang boleh menjualnya kembali. 

Semoga diri ini berasa tenang, hidup aman bahagia dan gembira selalu di samping keluarga, sanak saudara dan teman-teman tersayang. Moga semua baik-baik sahaja. Redha segala ketentuan dari Allah S.W.T. Semoga terus kuat dan sabar menempuh hidup ini. Amin.

Khamis, 16 Februari 2023

Binatang Apakah Itu?

 Assalamualaikum dan selamat malam semua. Pukul 12 nanti bolehlah tidur sebab esok perlu bekerja pula. Tulis blog santai-santai di malam hari untuk mengisi masa yang ada. Penat memang penat tetapi sengaja hendak meluangkan masa pada blog kesayangan.

Godek-godek laptop jumpa gambar ini. Kenal tak binatang apakah ini? Saya pun tak pasti namanya. Adakah itu mengkarung? Kerja kucing di rumahlah yang membawa masuk binatang pelik-pelik. Macam-macam dia bawa masuk seperti ular yang telah mati, burung dan tikus. Kadang-kadang rimas juga dibuatnya. 

Tetapi sekarang kucing itu telah tiada. Dia telah mati dan bangkainya tidak ditemui. Ketika dia sedang sesak nafas, dia telah pergi meninggalkan rumah. Jadi tiada siapa menemuinya lagi. Kami semua percaya bahawa dia telah mati kerana keadaan dia begitu tenat. Sekian untuk malam ini, cerita imbas kembali.

Selasa, 14 Februari 2023

Lampu Tidur Hitam dan Putih


Assalamualaikum...

Simpan sekadar kenangan, lampu hitam telah dipulangkan kepada pemberinya. Tak sanggup rasanya menerima pemberian setelah tiada apa-apa perasaan lagi. Tuan yang memberi pun tak mahu menerima kembali tetapi menyuruh kawan baiknya simpan dahulu. Sekarang ini tidak tahu pada siapa. Bairkan.. kalau boleh nak sedekah sahaja pada yang mahu menerimanya.

Isnin, 13 Februari 2023

Semua Orang Kejar Duit

Assalamualaikum...

Sejak akhir-akhir ini terkesan sangat dengan duit. Kalau difikirkan memang stress jika melibatkan duit. Ada yang buat part time untuk kumpul duit, berniaga online, jimat perbelanjaan makan sehari untuk berapa ringgit sahaja, kumpul duit perkepala untuk bayar bil dan beli barang makanan. Semua itu berlaku dalam rumahku syurgaku. Almaklumlah family ramai.

Aku pula dari tak minum susu sudah start minum susu kambing Ustaz Shamsul Debat. Semoga sakitku sembuh sepenuhnya. Kerja part time pula tiada. Kalau ada pun rasa tak mampu. Nak berjimat rasa susah sangat. Semoga ada rezeki lebih selepas ini. Rezeki dari cabang lain yang tak disangka. Rezeki kesihatan juga penting, tanpa kesihatan duit tak bermakna lagi. Nak makan apa pun tak boleh. Hati pun kena happy dan tenang. Segala bentuk rezeki diperlukan.

Khamis, 9 Februari 2023

Adik Perempuan Kedua Sudah Bertunang

 Pada 5 Februari 2023 yang lalu, adik selamat mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hatinya. Kami sebagai kakak menyokong sepenuhnya walaupun kami masih belum berkahwin. Jodoh itu rahsia Allah, jika adik ditakdirkan bertemu jodoh dulu siapalah kami untuk menghalangnya.

Cuma persoalan yang diajukan buat kami oleh saudara mara amat menyesakkan dada. Hanya boleh bersabar sahaja kerana semua itu telah ditentukan oleh Allah. Pendek kata majlis berjalan lancar. 2 bentuk cincin diminta kerana langkah bendul. 

Jamuan makan disediakan oleh pihak katering iaitu nasi beriani, ayam masak merah, daging masak hitam dan jelatah. Tempah untuk 100 orang makan, satu kepala RM9. Laksa disediakan sendiri oleh tuan rumah, 4 kilo ikan sardin dan 6 bungkus laksa. Banyak betul lebihan dan tak larat nak makan. Lain kali kena kurangkan laksa. Apa-apa pun tahniah adik...