Memaparkan catatan dengan label Diari. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Diari. Papar semua catatan

Jumaat, 14 November 2025

Scam Buah Mangga?

Assalamualaikum dan selamat tengahari. Rasa macam kena scam, kena pukau dan sebagainya. Tapi tidak pun..hihi.. Kisahnya begini rasa teringin nak beli buahan tapi tak tahu buah apa. Berhenti gerai buah yang pertama tengok segar-segar buahnya. Nanti patah balik baru beli sebab berat. 

Jalan-jalan lagi berhenti gerai buah kedua dan yang terakhir. Tak banyak gerai buah di pasar malam itu. Tengok buah mangga. Memang semua buah mangga sudah buruk. Ada lebam hitam dan lembik. Memang buah mangga itu sudah rosak tapi boleh dimakan lagi dengan membuang bahagian yang rosak.

Pakcik yang menjual beritahu buah ini masih elok dan boleh makan. Buah hitam-hitam ini lagi manis katanya. Saya kata tak naklah sebab dah buruk. Boleh lagi katanya sepinggan RM5 sahaja. Dia suruh pilih nak pinggan yang mana dan bagi lagi extra. 

Balik ke rumah rasa tak lalu pula nak makan mangga itu. Terlalu ranum nak ke masam. Bau pun kurang enak. Kenapalah dalam banyak-banyak buah segar di pasar malam yang buruk juga dipilih? Tapi gerai pakcik ini sahaja yang jual mangga.

Abah tegur, buah mangga disimpan sampai lupa nak makan. Padahal baru sahaja beli abah tak tahu..hihi.. Diamkan sahaja nanti kena gelak dan bebel.

Adik pula kata kena scam sebab tak manis pun buahnya walaupun banyak hitam-hitam. Tak tahulah nak komen apa sebab diri sendiri pun rasa tak lalu nak makan..huhu..

Ahad, 9 November 2025

Stok Seafood Untuk Seminggu

 Assalamualaikum dan selamat malam. Selesai sudah membasuh stok seafood untuk seminggu. Ada ikan, udang dan sotong. Sekarang masuk maghrib awal, kena mandi cepat untuk tunaikan solat. Bila bahan mentah sudah siap dibersihkan cepat sedikit kerja masak-memasak.


Kalau ada ayam lebih sempurna. Tak mengapalah nanti abah belikan lagi. Bersihkan ayam lebih mudah berbanding sotong. Kalau tak kena gaya, dakwat hitam habis kena muka dan baju. 

Ahad, 19 Oktober 2025

Bakar Sofa Buruk

 Assalamualaikum dan selamat pagi. Pagi ini nak hantar pakaian terpakai di masjid Tanjung Piandang. Petang pula nak keluar makan bersama sahabat. Semoga semua urusan dipermudahkan Allah.

Sofa arwah mak, kakak yang belikan. Kami biarkan lama situ hingga reput. Kalau arwah ada, dia tak suka buang barang. Selagi boleh guna akan digunakan sampai rosak. Jika rosak sikit-sikit akan dibaiki dan boleh guna walaupun tidak cantik pada pandangan mata. Kakak pula jika nak beli sofa lain kena buang sofa yang lama. Itu syaratnya. Jadi tak bergantilah sofa di rumah kami.

Alhamdulillah adik tolong bakar. Sedaplah sedikit mata memandang selepas ini. Risau ada tikus atau ular 🐍 bersembunyi. Ada projek sebenarnya nak buat di situ. Nanti akan update di entri seterusnya.

Ahad, 21 September 2025

Sarapan Nasi Goreng Pagi Ini

 Assalamualaikum dan selamat pagi. Sarapan nasi goreng pagi ini. Seperti  biasa nasi goreng letak ikan bilis dan juga sayur sawi. Guna bahan yang ada di rumah sahaja.

Nasi goreng cepat di masak enak dimakan :)

Sawi ambil dalam pasu. Kecil sahaja sawi sebab baru tanam. 

Petang nanti jika berkesempatan nak letak baja kopi. Pertama kali tanam sawi dan tak pernah guna baja kopi. Harap-harap menjadi.

Rabu, 10 September 2025

Penantian Cuti Panjang

Assalamualaikum dan selamat pagi. Lagi dua hari lagi nak bercuti panjang. Sabarlah duhai hati. Harinya pasti akan tiba. 4 hari cuti bermula Sabtu hingga Selasa. Tidak ke mana-mana tetapi duduk di rumahku syurgaku.

Buka komputer muncul gambar ini. Comel pula nampak.

Pagi tadi budak sekolah rendah merentas desa. 

Pegawai polis menjaga laluan di Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh. Nak tanya, sanggup tak lalu depan polis jika tidak memakai helmet? Atau terus undur?

Ahad, 7 September 2025

Menu Pagi Nasi Goreng Ikan Bilis

Assalamualaikum dan selamat petang. Pagi tadi makan nasi goreng ikan bilis sahaja. Menu simple tapi mengenyangkan. 


Sekarang ini tengah mencari mood untuk membuat kerepek pisang berangan pula. Ada setandan pisang di dapur. Nak mulakannya amatlah sukar. Penyakit 'M' memanglah begitu. Kalau tak buat berlaku pembaziran pula. Kalau buat kerepek sekejap sahaja habis. Ayuh.. bersemangat !!

Selasa, 2 September 2025

Rezeki 2 Jenis Ikan dan Banyak

Assalamualaikum dan selamat malam semua. Rezeki hari ini, luar biasa banyaknya abah beli ikan. Dua jenis ikan. Kebiasaannya abah beli ikan sikit saja, tak lama sangat nak bersiang.


Balik dari kerja terus bersiang ikan sampai ke maghrib. Tak sempat nak siram pokok. Harap pokok baik-baik sahaja. Bukan sahaja ikan, ayam pun abah beli. Ayam biarkan dulu dalam peti ais, esok baru bersihkan. Hari ini memang tak sempat. Nak mandi dan solat maghrib terlebih dahulu.

Sabtu, 30 Ogos 2025

Santapan Pagi Cucur Jagung dengan Kucai

Assalamualaikum semua. Santapan pagi Sabtu, cucur jagung dengan kucai. Kucai sudah lama potong, simpan dalam peti ais. Hasil tanaman dalam pasu.

Guna tepung kek campur dengan tepung gandum. Letak udang sikit. Perancangan awal nak guna cili mesin tetapi habis pula stok dalam peti. Jadi cuma letak cili kering yang dipotong kecil-kecil.

Buat cucur pun guna bahan yang ada di rumah sahaja. Untuk makan sendiri. Kalau nak sedap kena cari di kedai lah...

Jumaat, 29 Ogos 2025

Shopping Barangan Percutian

Assalamualaikum semua. Kisah 17 Ogos 2025 yang lalu. Membeli barang persiapan ke Pulau Pangkor. Mula-mula seorang sahaja yang nak beli kasut untuk main air. Bila sampai di kedai semua pakat beli kasut. Kami bertiga pakat beli kasut. Tapi beli di MR.DIY sahaja. Kasut atau selipar tak sampai RM20.

Habis shopping barang percutian, perut pun lapar. Singgah di Mydin Parit Buntar. Adik bongsu makan mee sizzling

Eyma dengan adik seorang lagi makan nasi ayam. Kami perut orang kampung, tak boleh tak makan nasi. Nanti cepat lapar sangat.

Lepas makan shopping pula barang dapur di Mydin. Nak beli kurma tetapi kurmanya tiada. Siap tanya staff di situ takut tak jumpa. Rupanya memang tiada. Sebelum balik singgah di Mixue. Adik bongsu nak air Mixue pula. 

Selasa, 29 Julai 2025

Jelly Kelapa Guna Stevia (Pengganti Gula)

Assalamualaikum dan selamat malam. Luangkan sedikit masa untuk menulis walaupun mata dan kepala berasa agak berat.  Meriah dengan kelapa muda pada minggu lepas. Abah bawa balik 4 biji kelapa muda. Kena potong semua kerana biarkan lama akan rosak. Semua ada 8 biji termasuk buah kelapa yang lama.

 
Bila air dan isi kelapa sudah banyak, kena fikirkan sesuatu nak buat apa selain minum begitu sahaja. Bukan selalu dapat buah kelapa sebanyak ini. Nak buat kuih kalakatar ianya manis dan kena makan cepat. Jadi tak sesuai kerana kami nak makan sikit-sikit sahaja.

Oleh itu terjadilah jelly kelapa. Mujur ada stok agar-agar di rumah. Jika tidak tak jadilah nak buat kerana tiada orang nak pergi ke kedai. Alhamdulillah sedap jelly kelapa ini. Letak stevia sebab ganti gula. Sekarang tengah berusaha untuk cut sugar kerana nampak pelbagai penyakit akan timbul. Semoga Allah memberikan kesihatan yang baik buatku..

Pertama Kali ke Klinik Pergigian Kuala Kurau

Assalamualaikum dan selamat petang. Pertama kali pergi ke Klinik Pergigian Kuala Kurau. Sebelum ini pergi ke Klinik Pergigian Tanjung Piandang sahaja. Oleh kerana bangunan di sana dalam proses ubahsuai terpaksa pergi ke Kuala Kurau. Pergi pada 23 Mei lalu, sudah dua bulan.
 
Tak sangka bila pergi terus dapat rawatan. Jika klinik Tanjung Piandang hanya dapat tarikh temujanji sahaja. Mereka akan bagi tarikh untuk dapatkan rawatan.

Kebetulan hari hujan, masa pergi hanya ada seorang sahaja pesakit. Memang tak tunggu lama, sampai doktor kena tunggu kerana pergi tandas. 


Rabu, 23 Julai 2025

Buah Kelapa Muda Lagi

Assalamualaikum dan selamat malam. Balik dari kerja, depan pintu rumah ada buah kelapa muda. Alhamdulillah, rezeki lagi. Masuk rumah tukar baju, masak nasi kemudian terus potong buah kelapa muda. Ambil dua biji sahaja. Jangan tamak sebab sudah nak malam.


Buah kelapa muda menyerah diri padaku... Selalu tengok di atas pokok sahaja. Nak panjat tapi tak mampu. Boleh jatuh tergolek. Terima kasih abang :)


Apabila kudrat wanita yang membelahnya. Pisau pun boleh melekat.  Habis hancur dikerjakan. Berusaha untuk dapatkan air dan isinya.

Isinya memang elok dan sesuai untuk dinikmati begitu sahaja. Tak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis. 

Selasa, 22 Julai 2025

Lampu Jalan Rosak

 Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Selagi ada nyawa, lalui hari- hari dengan bersemangat. Walaupun pelbagai masalah mendatang dan bermain di fikiran. Pasti yang maha berkuasa akan membantu.


Alhamdulillah selesai sudah satu masalah. Jika tidak abah asyik tanya bila nak call TNB. Lampu jalan tak bernyala. Gelap- gelita abah pergi dan balik masjid.

Pihak TNB akan tanya nombor tiang elektrik. Jadi kena bersiap sedialah nanti kalut nak mencarinya.

Mereka ambil masa 24 jam setelah laporan dibuat. Call hari Ahad, hari Isnin baru baiki. Pihak TNB telefon dan minta hantar lokasi. Alhamdulillah malamnya lampu sudah menyala. Tak tengok kehadirannya kerana berada ditempat kerja.

Ahad, 20 Julai 2025

Rezeki Dapat Ikan Haruan

Assalamualaikum dan selamat petang. Rezeki hari ini dapat ikan haruan yang siap disiang,  hanya basuh dan masak sahaja lagi.  Abang sebelah rumah bagi. Abang sudah tahu adik-adiknya tak akan bersiang ikan hidup. 


Sebelum abang kahwin pun memang abang yang siangkan ikan untuk kami. Ikan air tawar sahajalah. Kalau ikan beli di pasar kena siang sendirilah. Abang memancing dan juga pasang bubu untuk dapatkan ikan. Alhamdulillah rezeki...

Sabtu, 19 Julai 2025

Kombinasi Tiga Menu

Assalamualaikum dan selamat malam. Cerita 16 Jun 2025. Balik dari kerja terus masak nasi dan goreng mee.
 
Lauk lepas Maghrib baru adik masak. Mee goreng express, guna apa yang ada dalam peti. Sayur hijau selalu tak tahan lama.

Oleh sebab tak nak makan selepas Maghrib, terus makan mee goreng dengan nasi dan durian :)

Kalau nampak durian dalam peti mesti nak makan. Selagi tak habis, asyik buka peti sahaja. Kombinasi ketiga menu ini alhamdulillah kenyang. Bila tengok gambar ini terasa lapar pula :)

Jumaat, 18 Julai 2025

Beli Ayam Gunting di Pasar Petang Khamis

 Assalamualaikum dan selamat pagi. Cerita kelmarin, pergi pasar petang Khamis beli bebola ikan dan ayam gunting.


Ayam gunting RM5 dan bebola ikan RM3. Kali kedua beli ayam gunting dengan penjual yang berlainan. Kali pertama beli di Tanjung Piandang. Makan sekeping kemudian pergi mandi dan solat. Adik mesej tanya mana ayam gunting. Rupanya telah dilarikan oleh Si Pin Yangg, kucing yang selalu masuk rumah.

Memang rezeki kucing nampaknya. Mujur dapat rasa juga. Beli RM10 pula, memang tiada rezeki.

Kali kedua ini simpan terus bawah tudung saji. Letak pemberat agar tak dapat ditolak. Ayam gunting pasar kurang enak. Tebal dan liat dengan tepung sahaja. Saya memang tak pernah makan ayam gunting, jadi tak tahu rasa sebenar.

Jumaat, 11 Julai 2025

Senja-senja Potong Buah Kelapa Muda

Assalamualaikum dan selamat pagi. Kelmarin balik dari kerja, nampak ada 4 biji buah kelapa muda di halaman rumah. Adik kata abang yang kait dari pokok.

Tunggu apa lagi, tukar baju terus potong kelapa muda untuk dapat air dan isinya.
 
Bukan selalu dapat rezeki begini. Rezeki di depan mata. Hanya perlu potong sahaja lagi. Nikmati segar tanpa ais dan juga  gula.

Khamis, 10 Julai 2025

Selamat Pagi Khamis 10 Julai 2025

 Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Meneruskan kerja hakiki sebelum dijemput Ilahi. Selagi ada kemampuan meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun ada masalah dan beban yang ditanggung.


Semoga ceria-ceria selalu dan dirahmati Allah. Semoga Allah permudahkan semua urusan kita dunia akhirat. Apa yang penting bersyukur selalu.. Alhamdulillah..

Selasa, 27 Mei 2025

Ular Kelilingi Rumah

Assalamualaikum dan selamat malam. Alhamdulillah setelah 5 hari ular mengelilingi dan juga masuk ke rumah, akhirnya mati juga. Hari pertama ular tersebut berada di halaman rumah, adik lelaki nampak. Hari kedua masuk ke rumah, nasib baik abah nampak tetapi ular menyelinap keluar melalui tiang kayu yang reput.

Hari Jumaat lalu, ular masuk dalam bilik mandi pertama. Ketika itu saya berada dalam bilik mandi. Tak tahu nak buat apa. Nasib baik dapat selamatkan diri. Nak minta tolong orang pun tak boleh sebab berkunci. 

Terakhir sekali ular  masuk bilik air yang kedua iaitu yang selalu digunakan oleh abah. Abah nampak ular sedang makan katak di dalam bilik mandi ketika nak masuk bersihkan diri untuk solat Maghrib di masjid. Bayangkan jika abah tak nampak ular tersebut.. tak tahulah bagaimana...

 Kalau ular sudah masuk ke rumah habis selerak semua barang. Almari yang berat perlu ditolak jika ular bersembunyi di situ. Mencabar sungguh kerana di rumah memang penuh dengan perabot dan barang.


Ular masuk dan kelilingi rumah kerana ingin mencari katak. Katak selalu masuk rumah dan juga bilik mandi. Selagi ada katak selagi itulah ular akan memburu. 

Hari ini abah dapat bunuh seekor lagi ular. Abah masukkan katak dalam perangkap tikus. Bila ular ingin makan katak, ia akan masuk dalam perangkap tersebut. Bila sudah makan, perutnya kembung, jadi tak boleh keluar dengan cepat. Abah cepat-cepat bunuh ular tersebut kerana kepalanya boleh keluar tetapi perutnya tersangkut dalam perangkap. Itu sahaja cara untuk elak ular masuk dalam rumah. Harap tiada lagi ular yang lain. Cukup yang itu sahaja.

Selasa, 27 Ogos 2024

Cedera Ketika Mengemas Rumah Atas

 Assalamualaikum dan selamat pagi. Minggu lepas hari Sabtu dan Ahad sibuk mengemas rumah atas. Kitar semula buku yang tidak digunakan lagi. Kitar semula kerusi roda yang dibeli untuk arwah mak tapi tak sesuai. Beli online tak boleh cuba selesa atau tidak. 

Bila sampai memang tak selesa dan boleh mendatangkan kecederaan. Sekarang tayar sudah rosak. Getah tayar pecah dan reput terus. Ranggup bak keropok. Nak baiki pun tak berbaloi. Baik dibuang sahaja.

Hadiah yang diperoleh ketika mengemas. Darah yang keluar banyak juga. Tapi alhamdulillah cepat baik. Rasa pedih memang terasa. Hari Sabtu kena, hari Ahad sambung mengemas lagi. Tapi pakai plaster agar boleh buat kerja lasak.

Kitar semula dapat RM30, termasuk buku-buku, barang plastik, kotak dan barangan elektrik yang lain. Alhamdulillah... Daripada dibuang begitu sahaja baik kitar semula. Adik laki bongsu rembat RM10 sebab dia tolong angkat kotak. Selebihnya mungkin beli makanan dan makan bersama keluarga.