Khamis, 2 Januari 2025

Penat dengan E-Invois

Assalamualaikum dan selamat malam. Sebenarnya rasa penat sangat dengan e-invois ini. Benda baru semua kena tanya dan fahamkan. Banyak kali hubungi LHDN tetapi sentiasa ada persoalan lain yang timbul. Mula-mula kena beri maklumat kilang pada pembekal. Pembekal pula banyak tidak terkira. Sampai hari ini tidak habis lagi memberi maklumat pada pembekal. 

Sekarang semua invois harus merupakan e-invois iaitu yang telah disahkan oleh LHDN. Hari ini dapat bil elektrik tetapi bukan e-invois. Kena beri maklumat pada TNB dan upload dokumen. Nak kena cari dokumen yang sepatutnya pula. 

Kebanyakannya kena call pihak tertentu baru boleh mendapat info. Orang bawah yang penat, ketua beri arahan sahaja. Penat dan serabut dengan e-invois ini. Rasa semuanya macam tak kena. Betul ke cara ini? Bolehkah buat begini? Kalau salah bagaimana? Sekian, coretan ini hanya untuk ringankan kekusutan :)

Rabu, 1 Januari 2025

Ole-ole dari Perlis

Assalamualaikum dan selamat malam. Penghujung tahun 2024, dapat ole-ole dari Perlis. Alhamdulilah... Rezeki jangan ditolak tetapi diterima dengan gembira :)

Dapat asam daripada Kak La. Sedap rasanya. Kalau mengantuk bolehlah makan...

Ole-ole kedua daripada Kak Ju. Cuba teka dapat apa?

Inilah dia.. gula melaka @ gula kabung. Selepas ini kena masak-masaklah pula ...

Apa-apa pun terima kasih kerana sudi memberi ole-ole ini. Sangat gembira dan bersyukur .. Alhamdulillah...

Ahad, 29 Disember 2024

Pengumpulan Sumbangan Pakaian Terpakai 2.0

Assalamualaikum dan selamat malam. Alhamdulillah terlaksanalah sudah hasrat untuk memberi sumbangan pakaian terpakai kepada yang memerlukan. Terima kasih adik dan adik ipar Fauzi, yang sudi menghantar pakaian tersebut. Tanpa mereka pasti misi ini tidak dapat dilaksanakan.

Sebelum ini pernah sumbang juga, Encik Ahmad ambil di rumah. Nak tengok entrinya boleh klik di sini. Rupanya pada awal tahun 2024. Akhir tahun 2024 beri sumbangan lagi. Alhamdulillah...

Di pusat pengumpulan Masjid Al-Halimi Bandar Baharu, Kedah. 

Adik lelaki turut memberi bajunya yang masih elok untuk disumbangkan. 

Semua ada 8 beg plastik pelbagai saiz. Kumpul sedikit demi sedikit. Harap dapat memberi manafaat kepada orang lain. Kekurangan yang ada harap dimaafkan. Kali ini mereka menerima pakaian yang boleh dipakai sahaja bermaksud yang masih elok. Jika baju yang tidak boleh digunakan harap dapat diproses di kilang, jangan dibuang begitu sahaja.