Isnin, 28 November 2022

Terjatuh Di Taman Lebah, Cameron Highlands

Assalamualaikum.. alhamdulillah adik bongsu kami sempat melihat mak. Adik balik ke kampung sempena pilihanraya umum. Untuk memberi kekuatan kepada adik dan juga kami sendiri, kami sepakat untuk menghantarnya pulang ke kampus. 

Sebelum hantarnya ke kampus, kami singgah sebentar di Cameron Highlands. Semasa di Taman Lebah, saya telah terjatuh kerana berjalan tidak pandang bawah. Tempat yang dipijak tidak rata. Kaki terkehel dan bengkak. Sekarang ini masih bengkak dan sakit.

Bila terjadi sebegitu, teringat pada arwah mak. Selalunya bila berjalan saya akan berjalan di belakang atau di sebelah mak. Jika ada jalan tidak rata, mak akan brek terlebih dahulu dan menyuruh kami berhati-hati. 

Sepanjang berjalan dengan mak, tak pernah berlaku perkara yang tidak baik. Mak memang seorang yang berhati-hati dan tenang orangnya. Bila berjalan bersama dengan mak, orang lain boleh bersabar. Membuatkan kami semua berasa tenang.

Ahad, 27 November 2022

Mak Telah Pergi Selamanya

Pada pagi 20 November 2022 yang lalu, mak telah menghembuskan nafas yang terakhir. Pemergian mak terlalu cepat. Kami sangka mak hanya tidur kerana wajahnya begitu tenang. Pernafasan juga seperti sudah tiada. Kemudian sedikit demi sedikit kaki dan tangannya mulai sejuk. Oleh itu, kami terus menelefon pihak kesihatan untuk mengesahkan kematian.

Abah tiada di rumah, kami memanggil jiran tetangga untuk membantu apa yang patut kerana kami tiada pengalaman. Keadaan memang kelam kabut dengan rumah yang berselerak dan ruang jalan rumah yang sempit.

Pada pukul 5.30 petang, mak telah selamat dikebumikan. Alhamdulillah, semua urusan berjalan dengan lancar. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa, di tempatkan dalam kalangan yang beriman, dijauhkan segala azab dan semoga tenang di sana. 

Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali. Mati itu pasti dan tidak sesiapa pun yang terkecuali..

Khamis, 10 November 2022

Mak Sudah dibenarkan Keluar dari Hospital

 Assalamualaikum dan selamat petang. Kelmarin 9 November 2022, mak telah dibenarkan pulang. Itu pun dengan syarat, tak demam dan boleh duduk di kerusi roda serta bersiar-siar. Itu syarat yang diberikan doktor. Tetapi bila petang, demamnya datang kembali. Risau juga dibuatnya. 


Demam mak memang on off. Bila masukkan air garam, mak kembali bertenaga. Jika suhu tinggi sampai meracau, cakap yang bukan-bukan. Ajak pergi toilet nak berak. Kemudian pejam sekejap. Pejamnya hanya 1 minit kemudian ajak pergi toilet lagi sampai marah-marah.

Pertama kali lihat keadaan tersebut sampai terbawa-bawa dalam tidur. Tak boleh tidur sebab asyik teringat. Kesian mak, kita yang tengok pun rasa penat bila dia meracau. Ya Allah sembuhkan sakit emakku.

Abah kata jika doktor tak boleh buat apa, bawa sahaja mak balik. Air kencing ok, darah pun ok. Tetapi demam on off. Kelmarin mak gagahkan diri juga untuk duduk. Jika tidak tak boleh balik. Bila mak duduk di kerusi roda, katil mak diambil kerana hospital kekurangan katil yang boleh diadjust. Mak duduk di kerusi roda sampai dibenarkan pulang. Perit sebab mak ada masalah sakit saraf.

Sekarang adik yang berjaga di waktu malam pula demam. Demam sampai tak boleh bangun. Risau pula rasanya. Semoga adikku cepat baik daripada demam. Adik yang pandai menguruskan mak. Adik yang pandai menjaga hati mak, abah dan adik-beradik yang lain. Semoga cepat sembuh.