Ahad, 21 Disember 2014

Sinopsis Novel Seindah Sakura

Assalamualaikum...

Akhirnya, selesai juga saya membaca novel Seindah Sakura karya Liza Zahira. Mesti anda semua sudah tahu tentang novel ini malah ia telah diadaptasi ke drama. Jalan cerita memang ada sedikit perbezaan antara tv dan novel. Tapi kedua-duanya best dan memberi kesan kepada pembaca dan penonton. Jom lihat sinopsis novel Seindah Sakura hasil pembacaan saya.

Novel Seindah Sakura Karya Liza Zahira

Novel Seindah Sakura

     Cerita ini mengisahkan Shakira yang tinggal bersama Oyangnya di sebuah pondok buruk. Setiap kali hujan, pondok tersebut akan dimasuki air akibat lubang yang terdapat pada bumbungnya. Ibunya tidak tinggal bersama kerana terpaksa bekerja di luar. 

     Shakira terpaksa bekerja sambil belajar untuk menyara kehidupan mereka berdua. Ibunya sejak bekerja di luar langsung tidak mengirimkan wang belanja.

     Shakira sering dimarahi oleh gurunya iaitu Cikgu Airil. Shakira dianggap sebagai pelajar yang bermasalah dan boleh merosakkan reputasi sekolah. Walhal tidak mengetahui latar belakang hidup Shakira yang penuh dengan cabaran dan kesukaran.

     Sehinggalah apabila Oyang Shakira iaitu Moyang Kiah meninggal dunia. Barulah Cikgu Airil faham mengenai kesusahan hidup Shakira. Datuk Walid iaitu bapa saudara kepada Cikgu Airil menjaga Shakira apabila Oyangnya meninggal dunia. Tambahan pula, ibu Shakira telah dipenjarakan kerana membunuh tanpa niat. Cikgu Airil juga tinggal bersama bapa saudaranya itu.

     Di situ bermulalah kisah antara Cikgu Airil dan Shakira. Cikgu Airil sudah mula jatuh cinta pada Shakira dan begitu juga Shakira. Anida iaitu anak kepada Datuk Walid berasa cemburu kerana dia juga menyukai Cikgu Airil. Pelbagai helah telah dirancang oleh Anida untuk menyingkirkan Shakira dari rumahnya. Kesudahannya, Anida berjaya menyingkirkan Shakira dan membuatkan Airil membenci Shakira.

     Kehidupan Shakira menjadi lebih sengsara apabila dimaklumkan bahawa ibunya menghidap HIV. Datuk Walid membenarkan ibu Shakira tinggal di rumahnya. Datuk Walid menggaji seorang jururawat untuk menguruskan ibu Shakira yang memerlukan penjagaan yang rapi. Shakira berasa terhutang budi kepada Datuk Walid.

     Sehinggalah suatu hari, Datuk Walid menyatakan hasratnya untuk menikahi Shakira sebelum Shakira melanjutkan pelajaran di UIA. Shakira enggan dan melarikan diri. Pelbagai kejadian buruk berlaku ke atas dirinya sejak meninggalkan rumah. Akhirnya, Shakira pulang semula ke rumah dan bersetuju berkahwin dengan Datuk Walid.

     Perkahwinan Datuk Walid dan Shakira hanyalah di atas kertas. Shakira tidak menjalankan tugas sebagai isteri. Malah membenci Datuk Walid kerana dianggap mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain.
Sebelum menamatkan pelajaran di universiti, Datuk Walid telah menceraikan Shakira dan menberikan sedikit hartanya.

     Shakira telah berkahwin dengan Roni. Malangnya, Roni seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab dan suka berfoya-foya. Tujuannya berkahwin dengan Shakira adalah untuk mengikis harta yang diperolehi dari Datuk Walid dan ingin hidup senang hasil kerja keras Shakira.

     Cikgu Airil pula telah dipaksa oleh bapa saudaranya untuk berkahwin dengan Anida kerana ingin menyelamatkan maruah Anida. 


Jadi, bagaimanakah Shakira dan Airil bersatu? Kenalah baca sendiri yer. Sudah penat jari-jemari untuk menaip. Novel ini boleh memberi semangat kepada kita untuk meneruskan kehidupan. Kisah hidup dan kesengsaraan Shakira banyak memberi pengajaran kepada semua. Kepada anda yang belum membacanya, cubalah dapatkan novel ini. Selamat Membaca :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan