Sabtu, 15 Mac 2025

Selamat Berbuka 14 Ramadan 1446H

Assalamualaikum dan selamat petang. Hari ini sudah masuk 14 Ramadan. Alhamdulillah.. Sudah lama juga tidak menulis di blog. Masa dan mood terlalu mencemburui untuk terus menulis di sini. Hari ini berkesempatan kerana tugas di dapur sudah selesai. Hanya perlu hidang makanan sahaja lagi.

Menu di atas bukan menu berbuka untuk hari ini tetapi pada 9 Ramadan yang lalu. Tak pergi kerja kerana pening kepala dan selesema. Beli lauk pauk iaitu daging dan ayam. 

Hari ini masak laksa sikit menggunakan ikan yang lama disimpan dalam peti. Harap sedaplah. Ikan yang nampak kurang segar sudah dibuang. Adik bongsu masak ayam gepuk resipi Khairul Aming. Harap sedap la sebab rupa sudah ada. Nanti kalau berkesempatan boleh ambil gambar. Okeylah masa untuk ke dapur menghidang makanan. Selamat berbuka semua :)

Sabtu, 8 Februari 2025

Ingin Menjadi Seorang yang Minimalis

 Assalamualaikum semua. Entri kedua untuk hari ini. Sejak akhir-akhir ini selalu sangat tengok video Tiktok Puan Sri Hartini yang mengamalkan gaya hidup minimalis. Asyik tergiang-ngiang videonya. Memang sukar untuk menjadi minimalis kerana mempunyai sejarah keluarga yang susah ketika dulu. Susah untuk mendapatkan sesuatu barang dan sukar untuk melepaskan sesuatu barang. 


Dalam fikiran akan terfikir mungkin barang ini akan digunakan suatu ketika nanti. Tengok almari tersebut, guna sampai rosak teruk baru buang. Jika rosak sedikit gunakan lagi. Tapi bila dah lama rosak teruk, tak sedar tikus pun sudah buat sarang dalam almari. Rosak semua baju kerana jarang buka almari tersebut.

Sampai sekarang dan hari-hari saya terfikir nak buang apa kerana keadaan rumah masih selerak. Bila barang disusun sahaja tanpa buang, tak memberi impak ruang. Fikiran juga masih rasa serabut. Sebenarnya tak boleh nak buang sebarangan kerana melibatkan barang orang lain juga. Itu masalah terbesar saya.

Bila nak buang sesuatu kena hantar WhatsApp agar tidak timbul perasaan bersalah. Takut pun ada sebenarnya. Kita tidak tahu nilai sesuatu barang pada diri orang lain terutama adik-beradik. Sebab nak kemas rumah keluarga, melibatkan adik-beradik. 

Barang sendiri pun kalau boleh nak buang sendiri, tak nak orang buangkan. Sendiri yang tahu sama ada sesuatu barang itu perlu atau tidak lagi. Berharap dapat mengamalkan gaya hidup minimalis suatu ketika nanti :)

Kenangan Sahabat Pena

 Assalamualaikum dan selamat malam. Kenangan ketika di bangku sekolah dahulu, mempunyai sahabat pena serata negeri. Sahabat pena bermula apabila melihat profil di majalah Asuh, Kuntum dan sebagainya. Pilih yang sama umur terutamanya untuk dijadikan kawan.

Maka terjadilah proses balas membalas surat. Boleh dikatakan hari-hari menunggu kedatangan surat. Tunggu posmen di depan rumah dengan harapan posmen akan berhenti. Bila tiada surat posmen bawa motor laju sangat.

Bila dapat surat hati gembira tidak terkata. Selain itu suka mengumpul setem yang diterima. Punggah almari terjumpalah surat-surat ini. Memang tak sanggup nak baca. Terus buang kerana hanya menjadi kenangan sahaja. Apa-apapun saat itu memang indah terutamanya semua keluarga masih ada dan bersatu. Walaupun kehidupan ketika itu adalah sederhana tetapi amat-amat bahagia. Tak tergambar kebahagiaan ketika itu :)