Isnin, 30 Jun 2025

Air Tangan Kak Ipar Bahagian 1 2025

Assalamualaikum dan selamat petang semua. Entri ketiga untuk hari ini. Sengaja letakkan bahagian, jika ada rezeki boleh masukkan bahagian kedua pula. Panas betul cuaca hari ini, nak tidur pun tak boleh. Alhamdulilah sejak abang kahwin dapat pelbagai menu dari kak ipar. Ada seorang jer abang jadi ada seorang sahajalah kakak ipar.

Masak lemak pucuk ubi kayu dengan ikan pekasam kurang masin. Masak lemak ubi memang jarang sangat makan kecuali ketika arwah mak ada.

Ikan keli goreng pun ada. Makan dengan nasi panas memang sedap.

Masak lemak pucuk ubi kayu campur dengan satu lagi sayur. Tak pasti sayurnya.

Asam pedas keladi dan juga ikan sardin goreng.

Keladinya empuk, tak rasa gatal dan memang enak.

Mee goreng kak ipar bagi ketika menyiram pokok di tepi rumah. Rezeki di pagi hari, alhamdulillah...

Hari lain pula bagi lagi asam pedas keladi. Bagi selalu pun tak apa sebab memang tak puas makan :)

Wadai kepeng durian, masakan orang banjar. 

Secukup rasa tak terlalu manis, jadi boleh makan banyak...

Tiga sekali bagi kerana buat aktiviti makan-makan bersama kawan kak Su. Kami yang duduk sebelah dapat merasa sekali. Alhamdulillah..

Bubur jagung dengan sagu, ikan masak sambal dan juga wadai kepeng nangka. Alhamdulillah.. Terima kasih kak Su kerana beri pada kami semua. Semoga Allah membalas segala kebaikan kak Su sekeluarga. Makanan semua sedap-sedap, tiada kekurangan. Nanti bolehlah belajar masak dengan kak :)

Teringin Nasi Kerabu Lagi

Assalamualaikum semua.. Entri kedua untuk hari ini. Pada 22 Jun 2025 ada pertandingan memancing puyu di kampung. Oleh kerana tak pandai memancing, apa kata pergi tengok sahaja orang memancing. Sekadar memberi sokongan kerana aktiviti di kampung yang jarang diadakan. Dekat sangat jalan kaki pun boleh sampai.

Oleh disebabkan tak nak masak dan gantung kuali. Jadinya tempahlah 10 bungkus nasi kerabu.

Solok lada sedap sangat dan jarang dapat di pasar malam. 

Rajin penjual bungkus, banyak juga yang harus dibungkus asing.

Sahabat adik pun teringin nak makan lagi. Katanya jika nak tempah lagi, beritahu padanya. Bukan senang nak dapat nasi kerabu seperti ini. RM7 sahaja satu bungkus. Kena tempah minimum 10 bungkus. Jadi saya tempah 10 bungkus sahajalah. Nak masak sendiri memang tak pandailah.

Tempah dengan adik ipar rakan sekerja yang tinggal di Titi Serong. Adik iparnya memang orang Kelantan. Insya Allah ada rezeki nak tempah dan buat makan-makan lagi walaupun hanya nasi kerabu.

Menggantung Kad Hari Raya

Assalamualaikum dan selamat pagi. Hari ini ambil cuti kerana menghabiskan cuti tahunan pada tahun lepas. Lega sangat dapat berehat dan meluangkan masa menulis blog. Nak ambil mood untuk menulis bukannya mudah tetapi dipaksa.

Aktiviti menggantung kad hari raya semasa zaman sekolah dahulu. Sebelum ianya dibuang lebih baik dipamerkan sehingga betul-betul buruk.

Banyak juga kad hari raya yang dikumpul. Setiap hari tunggu posmen di halaman rumah. Posmen pun bukan main laju bawa motor. Indahnya zaman dahulu kala kerana semua ahli keluarga ada. Apa yang tiada adalah kemewahan tetapi penuh kasih sayang.

Makan telur dengan ikan kering pun sudah cukup nikmat. Semuanya kerana air tangan mak. Kadang merungut juga bila mak asyik masak ikan puyu dan gulai sahaja. Biasalah kanak-kanak nak makanan yang sedap terutama ayam. Bila sudah matang baru rasa bersyukur akan nikmat itu.

Kad hari raya adalah memori bersama kawan-kawan di sekolah dan juga keluarga. Saya dengan kakak-kakak asyik tertunggu sahaja posmen. Kakak tanya, posmen lalu tak lagi? Jika sudah lalu, tak mengapalah esok sambung tunggu pula. Kadang dapat upah kerana ambil surat daripada posmen. Gembiranya saat itu...

Kakak sibuk memasak dan saya pula tunggu posmen sambil bermain. Ada juga kawan yang bagi duit raya sekali tetapi seposen sahajalah. Nak gantung baru ambil duit itu. Rezeki...

Kenangan ini akan dilepas seiiring dengan peningkatan usia agar tidak menjadi beban. Apa-apa pun ini adalah salah satu kegembiraan satu masa dulu.