Khamis, 18 Jun 2026

Rezeki Wadai Kepeng dan Laksa

Assalamualaikum dan selamat pagi. Balik kerja kelmarin, buka tudung saji ada laksa sebungkus dan juga wadai kepeng. Tak tanya dari mana datangnya terus ngapp.. Alhamdulillah.. Memang perut tengah lapar pun. Jarang ada rezeki begini.


Bila malam baru tanya abah. Abah yang beli laksa itu sebab beli untuk jiran juga iaitu Pak Su Musa yang terlantar sakit. Abah beli dua untuk kami satu. Saya kongsi makan dengan adik.

Wadai kepeng memang boleh agak siapa yang beri iaitu abang. Kak ipar memang rajin buat kuih itu terutama musim durian. Letak durian dalam kuahnya memang padu sangat rasanya. Alhamdulillah..rezeki.. Terima kasih Kak Su...

Khamis, 11 Jun 2026

Bila Ubi Sudah Mula Tumbuh Tunas

Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Semoga ceria selalu dan dikurniakan kesihatan yang baik. Cerita hari Sabtu lepas, bila ubi kentang dan ubi keledek sudah mula tumbuh tunas. Baru sedikit tumbuhnya maka masih boleh diselamatkan lagi. 

Beli kulit popia sebab malas nak buat kulit karipap. Inti pula adalah inti karipap iaitu menggunakan serbuk kari.

Dapat 15 + 8 + 7 biji popia ubi. Belum goreng simpan di tempat sejuk beku kerana masih pantang makan ubi. Bila kesihatan sudah baik, baru berani nak makan. Ubi buat perut kembung dan badan berangin.

Rabu, 10 Jun 2026

Bila Masuk Umur 40 Tahun

 Assalamualaikum dan selamat pagi. Bila masuk umur 40 tahun, memang ujiannya agak kuat. Serba tak kena jadinya. Ujian kesihatan, mental, orang sekeliling, tempat kerja dan sebagainya. Kadang rasa down sangat.

Fasa umur 40 memang benar ada cabarannya. Kesihatan memang makin lemah. Jika sebelum ini sakitnya tidaklah rasa membebankan tetapi kini makin kuat. Sampai tidur malam pun tidak nyenyak. Ada saja waktu yang terjaga. 

Bila kesihatan tidak mengizinkan, menjadikan masalah pula di tempat kerja. Tidak boleh fokus dan berfikir dengan baik. Orang lain tidak akan tahu masalah itu. Hanya diri sendiri yang perlu mengawal agar tidak menjadi makin teruk.

Di rumah pula makin rasa tenat. Nak buat sesuatu rasa tak bersemangat seperti sebelum ini. Jika dulu tenang sahaja tinggal bersendirian di rumah tetapi kini rasa nak jerit. Rasa nak meluahkan sesuatu. Menangis seorang diri agar rasa berat itu hilang.

Rindu pada orang yang tiada memang tidak terungkap lagi dengan kata-kata. Hanya hati  sahaja tahu betapa kosongnya hidup ini.


Apa-apapun tetap terus melangkah selagi ada kudrat dan nyawa. Moga dikurniakan kesihatan yang baik, ketenangan dan kebahagiaan dunia akhirat.