Ahad, 27 Julai 2025

Menghabiskan Masa dengan Pokok-Pokok

Assalamualaikum dan selamat petang semua. Dua hari ini iaitu Sabtu dan Ahad, menghabiskan masa dengan pasu dan pokok-pokok sahaja. Sudah tak terjaga dan perlukan perhatian semuanya. 

Pedulikan pandangan belakang. Fokus pada pasu dan pokok sahaja :)

Banyak pasu peninggalan arwah mak. Mak dulu suka tanam pokok bunga kertas kerana senang dijaga dan berbunga cantik. Abah pula tak suka pokok bunga kertas kerana berduri. Apa-apa pokok berduri dan keras susah nak diuruskan. 

Sejak ketiadaan mak pokok bunga kertas memang tiada lagi. Lagipun pokok sudah tua dan mati sendiri. Pasu pun banyak yang pecah. 

Petang ini selepas Asar akan sampai tanah hitam sawit yang dipesan. Harap bertambah suburlah pokok. 

Sebelum nak tambah baja dan tanah, potong daun kucai dulu. Masalahnya tiada siapa nak masak dan makan. Sejak badan sakit-sakit tak berani nak makan ataupun nak buat cucur. Mungkin kering dalam peti ais sahaja nampaknya...

Jumaat, 25 Julai 2025

Kucing Berkawan dengan Ayam

Assalamualaikum... Kisah dulu kala, sekarang kucing tersebut entah ke mana. Mungkin sudah mati. Dulu kucing Yamyam suka sangat berkawan dengan ayam. Kami panggil Yamyam sebab suka kawan dengan ayam.


Kami tak tahu pun kewujudan Yamyam. Kucing yang baru dibuang agaknya. Tiba-tiba ada dalam reban ayam. Lama juga Yamyam tinggal dalam reban. Apabila dia rapat dengan kami barulah Yamyam jarang masuk ke reban. Bila ayam dilepaskan Yamyam akan bersama mereka. Sekadar kenangan.

Rabu, 23 Julai 2025

Buah Kelapa Muda Lagi

Assalamualaikum dan selamat malam. Balik dari kerja, depan pintu rumah ada buah kelapa muda. Alhamdulillah, rezeki lagi. Masuk rumah tukar baju, masak nasi kemudian terus potong buah kelapa muda. Ambil dua biji sahaja. Jangan tamak sebab sudah nak malam.


Buah kelapa muda menyerah diri padaku... Selalu tengok di atas pokok sahaja. Nak panjat tapi tak mampu. Boleh jatuh tergolek. Terima kasih abang :)


Apabila kudrat wanita yang membelahnya. Pisau pun boleh melekat.  Habis hancur dikerjakan. Berusaha untuk dapatkan air dan isinya.

Isinya memang elok dan sesuai untuk dinikmati begitu sahaja. Tak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis.