Selasa, 29 Julai 2025

Jelly Kelapa Guna Stevia (Pengganti Gula)

Assalamualaikum dan selamat malam. Luangkan sedikit masa untuk menulis walaupun mata dan kepala berasa agak berat.  Meriah dengan kelapa muda pada minggu lepas. Abah bawa balik 4 biji kelapa muda. Kena potong semua kerana biarkan lama akan rosak. Semua ada 8 biji termasuk buah kelapa yang lama.

 
Bila air dan isi kelapa sudah banyak, kena fikirkan sesuatu nak buat apa selain minum begitu sahaja. Bukan selalu dapat buah kelapa sebanyak ini. Nak buat kuih kalakatar ianya manis dan kena makan cepat. Jadi tak sesuai kerana kami nak makan sikit-sikit sahaja.

Oleh itu terjadilah jelly kelapa. Mujur ada stok agar-agar di rumah. Jika tidak tak jadilah nak buat kerana tiada orang nak pergi ke kedai. Alhamdulillah sedap jelly kelapa ini. Letak stevia sebab ganti gula. Sekarang tengah berusaha untuk cut sugar kerana nampak pelbagai penyakit akan timbul. Semoga Allah memberikan kesihatan yang baik buatku..

Pertama Kali ke Klinik Pergigian Kuala Kurau

Assalamualaikum dan selamat petang. Pertama kali pergi ke Klinik Pergigian Kuala Kurau. Sebelum ini pergi ke Klinik Pergigian Tanjung Piandang sahaja. Oleh kerana bangunan di sana dalam proses ubahsuai terpaksa pergi ke Kuala Kurau. Pergi pada 23 Mei lalu, sudah dua bulan.
 
Tak sangka bila pergi terus dapat rawatan. Jika klinik Tanjung Piandang hanya dapat tarikh temujanji sahaja. Mereka akan bagi tarikh untuk dapatkan rawatan.

Kebetulan hari hujan, masa pergi hanya ada seorang sahaja pesakit. Memang tak tunggu lama, sampai doktor kena tunggu kerana pergi tandas. 


Ahad, 27 Julai 2025

Menghabiskan Masa dengan Pokok-Pokok

Assalamualaikum dan selamat petang semua. Dua hari ini iaitu Sabtu dan Ahad, menghabiskan masa dengan pasu dan pokok-pokok sahaja. Sudah tak terjaga dan perlukan perhatian semuanya. 

Pedulikan pandangan belakang. Fokus pada pasu dan pokok sahaja :)

Banyak pasu peninggalan arwah mak. Mak dulu suka tanam pokok bunga kertas kerana senang dijaga dan berbunga cantik. Abah pula tak suka pokok bunga kertas kerana berduri. Apa-apa pokok berduri dan keras susah nak diuruskan. 

Sejak ketiadaan mak pokok bunga kertas memang tiada lagi. Lagipun pokok sudah tua dan mati sendiri. Pasu pun banyak yang pecah. 

Petang ini selepas Asar akan sampai tanah hitam sawit yang dipesan. Harap bertambah suburlah pokok. 

Sebelum nak tambah baja dan tanah, potong daun kucai dulu. Masalahnya tiada siapa nak masak dan makan. Sejak badan sakit-sakit tak berani nak makan ataupun nak buat cucur. Mungkin kering dalam peti ais sahaja nampaknya...