Ahad, 24 Mac 2024

Burung Membuat Sarang dalam Bilik Air Homestay

Assalamualaikum dan selamat pagi. Baru beberapa minggu tidak menjenguk homestay, burung sudah membuat sarang dalam bilik air. Siap bertelur lagi. Makin berani burung-burung masuk melalui tingkap bilik air. Sebelum ini mereka hanya di luar rumah. Bersepah tahi burung.

Keliling homestay penuh dengan tahinya. Paip aircond juga jatuh kerana dikacau oleh burung-burung. Mereka ingat homestay rumah mereka agaknya. Maklumlah jarang diduduki. Cuti sekolah sahaja yang rancak kerana ada kenduri berdekatan homestay. Alhamdulillah. Update untuk kenangan suatu hari nanti :)

Sabtu, 23 Mac 2024

Kerepek Pisang Berangan Santapan di Hari Raya?

Assalamualaikum dan selamat malam. Alhamdulillah, sudah 12 hari umat Islam berpuasa. Semoga umat Islam dapat berpuasa dengan baik terutama dengan cuaca panas begini. Semoga terus bersabar dalam mencari redhaNya. 

Ada setandan pisang hasil tanaman abah. Risau tidak habis dimakan apabila masak serentak nanti. Jadi jadikannya kerepek iaitu kerepek pisang berangan. Nak goreng rasa lambat sangat, bila makan tak terasa sudah habis. Begitulah selalunya.

Kalau boleh nak jadikan santapan di hari raya nanti. Agak-agak masih okey atau tidak? Risau juga jika masuk angin dan tidak ranggup lagi. Penat aje buat. Lagi satu bolehkah tahan nafsu, tengok sahaja tanpa menikmatinya. Tunggu dan lihat adakah ianya masih wujud di Aidilfitri ini?

Ahad, 17 Mac 2024

Menu Berbuka Ramadan ke 4 dan 5

Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Hari ini merupakan hari ke enam umat Islam berpuasa. Alhamdulillah... Semoga dipermudahkan segalanya oleh Allah.

Menu berbuka Ramadan ke empat iaitu nasi kerabu. Beli di Bazar Tanjung Piandang, RM10. Sedap juga kerana sudah lama tidak makan nasi kerabu.
 
Abah beli kuih-muih juga untuk berbuka. Alhamdulillah... Nak buat kuih sendiri pasti tidak habis makan. Jadi daripada membazir lebih baik beli sahaja.

Menu berbuka puasa Ramadan ke 5 iaitu laksa sebagai menu utamanya. Bila makan laksa, tak makan lagi nasi. Laksa sudah cukup mengenyangkan. Nasi makan ketika bersahur nanti. Laksa terlajak banyaklah pula, ada lagi satu bekas aiskrim dalam peti sejuk. Nanti buka puasa boleh makan lagi :)