Selasa, 7 Oktober 2025

Tupai di Pokok Belakang Rumah

Assalamualaikum dan selamat pagi. Pertama kali nampak tupai di belakang rumah. Selama tinggal di sini tidak pernah nampak lagi. Patutlah buah betik abah selalu kena tebuk.

Ambil video untuk tunjuk bukti pada adik-adik. Kemudian jadikan gambar untuk letak di blog.

Bertambah lagilah binatang di rumah. Belum cerita pada kawan lagi. Dulu dia kata macam-macam binatang di rumah hang. haha..

Hari itu abah dan abang bakar sarang tebuan di pokok jambu susu. Harap tidak ada binatang berbahaya yang lain...

Ahad, 5 Oktober 2025

Hasil Kejadian Kerepek Pisang

Assalamualaikum dan selamat pagi. Semoga hari ini lebih baik dari semalam. Hari-hari yang dilalui dengan indah dan dipermudah segala urusan. Inilah dia hasil kejadian menggoreng kelmarin. Kerepek pisang yang ranggup dan enak. Tak pandai hiris panjang-panjang, kita buat bulat-bulat sahaja. Janji boleh makan dan tidak berlaku pembaziran.


Dapat 5 balang semuanya, adik bawa balik dua balang. Tinggal separuh satu balang itu. Sekejap sahaja boleh dihabiskan. Abah suka jadi kita tolong gorengkan sahaja. Tapi kalau tak sempat atau tak sihat, harap dimaafkan yer :)


Ada lagi satu tandan pisang. Adik bagi sikit pada kawan baiknya yang datang ke rumah. Pisang berangan senang ditanam kerana tak mudah diserang penyakit. Abah cuba juga tanam pokok pisang lain tapi tak tahan pokoknya.


Makan sambil menonton kartun. Anak saudaraku yang comel. Sekarang ini sudah pandai merajuk dan buat muka. Tak tahan gelak kami dibuatnya.

Sabtu, 4 Oktober 2025

Promosi IKA Sungai Acheh

Assalamualaikum dan selamat malam. Hari ini bertungkus lumus membuat kerepek pisang. Dua tandan pisang muda kami habiskan. Buat bersama adik dari pagi sampai tengahari. Petangnya kami keluar membeli belah di IKA Sungai Acheh. Ada promosi barangan dari 25 September hingga 5 Oktober 2025. Esok adalah hari terakhir promosi. Tahu ada promosi pun melalui TikTok.







Suka sangat kalau dengar ada promosi mesti rasa nak pergi. Padahal barang di rumah sudah penuh. Kata nak tengok sahaja, tapi boleh percayakah? Tadi beli 120L storage box RM20 dengan bekas minuman RM2.50. Bayar cepat-cepat supaya tak terambil barang lain pula :)