Ahad, 18 Disember 2022

Dugaan yang Hadir

Assalamualaikum dan selamat petang pada yang sudi singgah di blog ini. Terlalu banyak kisah sedih yang berlaku pada tahun 2022 ini terutama di hujung tahun. Bulan November, mak telah pergi selamanya. Seminggu kemudiannya teman tapi mesra yang berkawan sejak PKP, berterus terang mencintai orang lain iaitu kak angkatnya. Hancur rasanya hati ini hanya Allah sahaja yang tahu.

Dua berita sedih yang diterima dalam masa terdekat. Ralat juga rasa kerana dia datang sejak mak mula sakit dan bila pergi, dia pun turut pergi. Dia juga turut sembahyang jenazah mak dan turut berada di tanah perkuburan saat dikebumikan.  

Redha dengan segala ketentuan Allah S.W.T dan semoga terus kuat dan bersemangat meneruskan kehidupan. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah. Semoga Allah beri kekuatan dan semangat padaku. Amin...

Isnin, 28 November 2022

Terjatuh Di Taman Lebah, Cameron Highlands

Assalamualaikum.. alhamdulillah adik bongsu kami sempat melihat mak. Adik balik ke kampung sempena pilihanraya umum. Untuk memberi kekuatan kepada adik dan juga kami sendiri, kami sepakat untuk menghantarnya pulang ke kampus. 

Sebelum hantarnya ke kampus, kami singgah sebentar di Cameron Highlands. Semasa di Taman Lebah, saya telah terjatuh kerana berjalan tidak pandang bawah. Tempat yang dipijak tidak rata. Kaki terkehel dan bengkak. Sekarang ini masih bengkak dan sakit.

Bila terjadi sebegitu, teringat pada arwah mak. Selalunya bila berjalan saya akan berjalan di belakang atau di sebelah mak. Jika ada jalan tidak rata, mak akan brek terlebih dahulu dan menyuruh kami berhati-hati. 

Sepanjang berjalan dengan mak, tak pernah berlaku perkara yang tidak baik. Mak memang seorang yang berhati-hati dan tenang orangnya. Bila berjalan bersama dengan mak, orang lain boleh bersabar. Membuatkan kami semua berasa tenang.

Ahad, 27 November 2022

Mak Telah Pergi Selamanya

Pada pagi 20 November 2022 yang lalu, mak telah menghembuskan nafas yang terakhir. Pemergian mak terlalu cepat. Kami sangka mak hanya tidur kerana wajahnya begitu tenang. Pernafasan juga seperti sudah tiada. Kemudian sedikit demi sedikit kaki dan tangannya mulai sejuk. Oleh itu, kami terus menelefon pihak kesihatan untuk mengesahkan kematian.

Abah tiada di rumah, kami memanggil jiran tetangga untuk membantu apa yang patut kerana kami tiada pengalaman. Keadaan memang kelam kabut dengan rumah yang berselerak dan ruang jalan rumah yang sempit.

Pada pukul 5.30 petang, mak telah selamat dikebumikan. Alhamdulillah, semua urusan berjalan dengan lancar. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa, di tempatkan dalam kalangan yang beriman, dijauhkan segala azab dan semoga tenang di sana. 

Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali. Mati itu pasti dan tidak sesiapa pun yang terkecuali..