Ahad, 30 Jun 2024

Menjamu Selera di Village Cafe

 Assalamualaikum dan selamat pagi. Saya jarang sangat makan di kedai dan tak suka makan di kedai. Lebih suka bungkus dan makan di rumah sahaja. Tetapi hari itu, lepas habis waktu kerja pada pukul 6 petang, kami tidak boleh balik lagi kerana perlu mengambil adik di stesen keretapi pada pukul 8.30 malam. 

Alang-alang sangat rasanya nak balik. Membazir duit minyak dan tenaga. Jauh juga lebih setengah jam perjalanan. Oleh itu, membuat keputusan makan di kedai dan solat di surau yang berdekatan iaitu sekitar Parit Buntar.

 
Air Epal RM 3.00

 
Nasi Goreng Pataya

 
Nasi Goreng Ayam
 
 
Kali kedua menjamu selera di sini. Kali pertama bersama kakak dan juga mak cik serta anak menantunya.
 
 
Masih awal, mungkin kami pelanggan pertama pada hari itu. Kenangan dengan adik perempuan pertama :)

Jumaat, 28 Jun 2024

Beg Galas Untuk Isteri Adik Angkat

 Assalamualaikum dan selamat pagi. Kedengaran guruh berdentum. Takut pula untuk terus menulis. Bunyi bumbung ditiup dan diangkat oleh angin. Jika keadaan makin kritikal baru berhenti menulis dan sambung tidur. 

Beg yang baru sekali dipakai dan telah diberikan kepada isteri adik angkat semasa bulan Syawal 2024 yang lalu. Begnya terlalu besar dan tidak mampu untuk diangkat oleh badan ini. Risau jika gunakan ia, isi tak ingat dunia kemudian menyusahkan diri dan orang lain.

Oleh itu, lebih baik jika beg ini disedekahkan sahaja daripada tidak digunakan. Simpan untuk kenangan. Ada rezeki ingin beli beg lain yang lebih mudah untuk dibawa.

Sabtu, 22 Jun 2024

Ibadah Korban 2024

 Assalamualaikum dan selamat pagi. Cepatnya masa berlalu pagi ini, sekarang hampir pukul 12 tengahari. Satu kerja pun tidak jadi lagi. Hanya sempat membasuh dan menyidai pakaian sahaja. Kelmarin cuaca sangat sejuk kerana hujan. Alhamdulillah..

Cerita mengenai ibadah korban pada tahun ini. Abah yang masuk korban pada tahun ini dengan masuk satu bahagian lembu. Kalau tak silap kena bayar RM900 termasuk perbelanjaan untuk kenduri.

 

Lembu yang telah dikorban di surau kami pada tahun ini. Alhamdulilah semuanya berjalan dengan lancar.

Daging korban yang diperolehi. Disimpan dalam plastik, 1 kg satu beg plastik.


Tulang bolehlah buat sup. Makan sekeluarga. Kakak dari Putrajaya dan Kuala Kangsar, turut balik pada kali ini. Hanya adik lelaki yang tinggal di Kuala Lumpur sahaja tidak balik.

Khamis, 20 Jun 2024

Coklat dari New Zealand

 Assalamualaikum dan selamat malam. Bos sekeluarga baru balik bercuti di New Zealand.  Bawa balik coklat kepada pekerja. Saya ambil satu bagi setiap perisa. Lebih suka creamy milk berbanding yang lain.

 
 
Sudah habis dimakan semuanya. Simpan untuk kenangan. Sebelum ini bila bos beri coklat kami meragui status halalnya. Kali ini ada kawan yang pandai lihat di internet dan mengesahkan coklat ini halal dimakan, barulah bersemangat nak ambil. Alhamdulillah dapat juga merasa :)

Khamis, 6 Jun 2024

Printer Baru di Pejabat

Assalamualaikum dan selamat malam semua. Sudah dua ekor ular senduk masuk ke rumah. Pertama masuk waktu maghrib melalui celah-celah dinding, kemudian masuk melalui pintu. Kami lihat sahaja ular tersebut sambil menghalau kerana tiada siapa yang berani bunuh. Ular tersebut keluar semula melalui celah dinding.

Beberapa hari kemudian, ular yang sama masuk ke dalam rumah. Nasib baik kakak yang melihat ular tersebut. Syukur abah juga ada, bolehlah bunuh ular tersebut. Diharap panas sampai ke petang, rupanya hujan ditengahari. 

Beberapa hari kemudian, ular senduk lain pula datang. Lebih besar daripada sebelum ini, masuk ke dapur kami. Adik yang melihatnya. Tidak ada juga orang yang berani bunuh kerana abah pergi solat di masjid. Adik berjaga-jaga dengan melihat ular itu sehingga ular itu keluar melalui lubang paip untuk singki. Lubang untuk paip singki terlalu besar hingga ada celah lagi ular untuk keluar masuk.

Adik masih trauma, dia mogok tidak mahu masak pada malam hari kecuali segala lubang dan pintu diletak jaring. Semoga ular tersebut dan ular lain tidak masuk walaupun tidak letak jaring. Perlukan masa juga untuk letaknya.

 Printer baru di pejabat setelah beberapa tahun bekerja. Sebelum ini berkongsi printer. Kali ini dapat baru, mungkin kena tambah kerja.. huhu.. Apa-apa pun syukur alhamdulillah...

Isnin, 3 Jun 2024

Lupa Bayar Air Minuman

 Assalamualaikum dan selamat pagi semua sahabat alam maya.  Kisah 1 Jun 2024, pergi Bagan Serai untuk melihat anak saudara baru. Dapat baby girl. Pergi bersama abah dan juga adik yang pertama. Bila balik singgah makan di Kuala Kurau.

 
Adik makan char kuew tiaw kerang, saya beli bungkus nasi goreng USA.

 
Kongsi dengan adik air laicikang

 
Sate 20 cucuk dengan sedikit nasi himpit untuk kami bertiga. Bila nak bayar kena asing-asing. Mula-mula bayar sate dulu RM21. Kemudian bayar char kuew tiaw RM6, nasi goreng USA RM8 dan juga laicikang RM6. Kesemuanya RM20. Sepatutnya bayar laicikang ditempat lain tetapi saya minta bayar satu tempat saja. Adik itu kira sekali.

Dengan hati yang tenang kami pun balik. Selesai sahaja menunaikan solat Maghrib, saya pun mengaji. Ketika mengaji itu barulah teringat tidak sebut air halia panas pada adik tersebut. Ya Allah... hati terus berdebar dan tidak tenang. Abah yang minum air halia tersebut. Memang tak ingat sedikit pun. Ya Allah jadi darah daging. Kesayangan pula yang minum dan bukan diri sendiri. Cepat-cepat call adik kerana adik berada di homestay. 

Keesokannya, kami berdua pergi semula ke kedai tersebut. Air halia panas RM1.20. Baru tenang rasa hati. Semuanya dipermudahkan. Rasa malu pun ada dengan diri, bukan malu ketika membayar. Nasib baik tak begitu jauh kedainya. Sekitar 20 minit. Kuatkanlah ingatan hambaku ini...

Ahad, 2 Jun 2024

Kek Milo 3 Bahanku Hancur

 Assalamualaikum dan selamat malam. Alamak tak jadi pula kek kali ini. Resipi yang baru dicuba iaitu kek milo 3 bahan. Memang tiada rupa kerana tidak sesuai bekas dengan keknya. Guna bekas acuan puding atau agar-agar. Kek melekat dan hancur bila ditanggalkan dari bekas.

Cuba kek ini kerana ada milo di rumah yang akan expired akhir bulan ini. Abah dapat free Milo bila beli beras. Mungkin orang ramai kurang membeli milo lagi kerana boikot. 

Berbau telur jadi jika ingin mencuba sekali lagi kena pastikan letak esen vanila agar kurang bau telur. Bila bau hanyir memang rasa tak berselera.