Isnin, 20 Februari 2023

Ubi Kayu Hasil Tanaman Belakang Rumah

 Assalamualaikum dan selamat petang semua. Pernah makan ubi kayu tak? Kalau masa kecil memang selalu sangat makan ubi kayu. Sekarang ini susah sikit nak dapat kerana khinzir suka kacau pokok ubi kayu yang ditanam. Tak sempat kita nak makan, dia yang ambil dulu.

Ubi kayu ini abah yang tanam di belakang rumah. Alhamdulillah menjadi. Tetapi ini gambar lama bukan yang terkini. Cerita kembali sahaja.

Ubi kayu sedap dibuat kuih bingka, talam ubi kayu, lepat, cucur dan pelbagai lagi.

Dalam peti ais masih ada ubi kayu yang telah diparut. Tak pasti nak buat kuih apa. Esok-esoklah kita fikirkan..hihi..

Ahad, 19 Februari 2023

Makanan yang Pernah Dimasak

 Assalamualaikum dan selamat pagi semua. 1 hari 1 entri jika berkesempatan. Entri kali ini berkaitan makanan yang pernah dimasak pada masa yang lepas. Godek-godek laptop rasa sayang nak buang sebelum disiarkan. Simpan untuk kenangan diri sendiri. Semoga terhindar dari dosa jika yang tidak senang melihatnya. Bukan niat  untuk menunjuk tetapi sebagai kenangan sendiri.

Ini kek pandan bersantan. Saya cuba banyak kali juga baru berhasil jadi begitu. Jika tidak ia tidak masak di tengah. Jika anda hendak mencubanya boleh klik di sini.
Kek kedua ini juga merupakan kek pandan tetapi tidak letak santan. Kemudian letak krim dan coklat ganache di atasnya.
Kek ini dibuat hasil dari bahan-bahan lebihan kek yang ada. Jadi ini namanya kek cincai jadi saya tak tulis resipi. Kek yang direka sendiri sahaja menggunakan bahan yang ada.
Ini pula merupakan roti berbentuk cendawan. Pahit bila makan di luarnya sebab menggunakan serbuk koko. Untuk nampak jadi real cendawan sahaja. Nak resipi boleh klik di sini.
Makanan yang terakhir ialah kek batik indulgence. Nampak comot sikit tapi rasanya memang sedap.
Nak potong dia memang rumit sikit kena guna pisau yang tajam dan dipanaskan. Gambar selepas dipotong memang tiada sebab orang kedah kata belemuih sangat.. hihi.. Nak tengok resipi klik di sini. Sekian..

Sabtu, 18 Februari 2023

Reward Untuk Diri Sendiri

 Assalamualaikum dan selamat malam. Alhamdulillah selesai sudah membeli untuk reward diri sendiri. Setelah pelbagai ujian yang berlaku, diri ini terasa amat sedih dan resah gelisah. Sahabat saya semasa di universiti berkata jika nak gembira selain istighfar, dekatkan diri pada Allah, buat solat-solat sunat iaitu solat sunat taubat dan hajat, bersedekah serta melakukan amal jariah. Perkara lain yang boleh menggembirakan hati ialah pergi berjalan-jalan dan juga membeli apa-apa barangan yang diinginkan.

kedai emas

Oleh itu saya rasakan membeli barang kemaslah yang patut untuk diri sendiri kerana nilainya yang tinggi dan sukar diperolehi. Perlu kumpul duit berbulan-bulan baru boleh membelinya. Selain itu, tidak rugi jika membeli barang kemas kerana jika tiada wang boleh menjualnya kembali. 

Semoga diri ini berasa tenang, hidup aman bahagia dan gembira selalu di samping keluarga, sanak saudara dan teman-teman tersayang. Moga semua baik-baik sahaja. Redha segala ketentuan dari Allah S.W.T. Semoga terus kuat dan sabar menempuh hidup ini. Amin.