Halaman

Jumaat, 27 Februari 2026

Menu Berbuka 8 Ramadhan 1447H

Assalamualaikum dan selamat pagi. Menu berbuka 8 Ramadhan. Abah beli ketam, adik buat masak lemak cili padi. Goreng telur sikit dan siap. Itu sahaja yang sempat disediakan dalam masa yang singkat.  


Petik sayur selom belakang rumah. Daripada ulat makan baik petik cepat-cepat. Sekarang pada tanaman ada ulat daun dan ulat bulu. Serangga lain pun ada, tiada idea cara nak hapuskannya. Kadang rasa stress juga tanaman rosak. Nak buat macam mana serangga pun nak cari makan juga..haha..

Khamis, 26 Februari 2026

Menu Berbuka 7 Ramadhan 1447H

Assalamualaikum dan selamat pagi. Selamat menjalani ibadah puasa bagi umat Islam. Alhamdulillah hari ini sudah masuk hari kelapan kita berpuasa. 


Menu berbuka 7 Ramadhan. Adik masak asam pedas ikan merah. Selebihnya goreng sahaja ikan tersebut. Abah beli cakoi dan kuih yang lain. Kuah kacang makan dengan ikan goreng pun sedap. Alhamdulillah atas rezeki ini.

Rabu, 25 Februari 2026

Menu Berbuka 6 Ramadhan 1447H

Assalamualaikum dan selamat pagi. Menu berbuka 6 Ramadhan. Bulan puasa kami balik kerja pukul 5.15, hari biasa pukul 6 petang. Jadi adalah juga masa tambahan untuk memasak juadah berbuka.


Beli kuih-muih dan juga gulai nangka. Bancuh kuah kacang segera dengan air panas, makan dengan timun dan sengkuang. Alhamdulillah atas rezeki ini :)

Selasa, 24 Februari 2026

Menu Berbuka 4 Ramadhan 1447H

Assalamualaikum dan selamat pagi. Hari ini sudah masuk 6 Ramadhan tetapi baru nak update menu berbuka 4 Ramadhan. Biar lambat asalkan ada entrinya.

Ada nasi goreng simple tak letak apa-apa perisa sebab nak makan dengan tomyam. Selain itu, ada bihun, bubur lambuk, kuih-muih dan cendawan goreng. Abah bawa balik dua bungkus bubur lambuk.

Tomyam masakan adik, makan dengan nasi dan juga bihun. Menu ini jugalah makan untuk sahur. Alhamdulillah atas rezeki ini :)

Ahad, 22 Februari 2026

Menu Berbuka 3 Ramadhan 1447H

Assalamualaikum dan selamat pagi. Hari ini sudah masuk 4 Ramadhan, alhamdulillah masih diberi nafas dan kesihatan yang baik. Bangun sahur ada juga rasa tak sedap badan kemudian ambil vitamin, rasa makin baik. Alhamdulillah...

Menu berbuka 3 Ramadhan iaitu hari Sabtu, meriah dengan kuih-muih. Adik masak sup daging dengan sambal ikan. Sayur pula peria goreng. Buat cucur terlajak masin pula. Tak pandai agak nak letak garam. Blend nasi sejuk yang tidak habis. Boleh dikatakan hari-hari ada lebihan nasi. Sukar nak agak terutama pada bulan puasa. Kalau kurangkan risau ada yang tak cukup makan.

Abah beli aneka kuih iaitu tepung bungkus, roti telur dan cucur badak. Kak ipar beri kuih balung ayam yang dibuatnya. Meriah kuih kami, makan sampai sahur. Alhamdulillah..

Jumaat, 20 Februari 2026

Menu Berbuka 1 Ramadhan 1447H

Assalamualaikum dan selamat pagi. Hari ini sudah masuk 2 Ramadhan. Semoga kita dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat terus berpuasa dan beribadah dengan sempurna. 

Menu berbuka puasa pada 1 Ramadhan tahun 2026. Alhamdulillah kakak sulung balik kampung dan masak mee goreng. Kuih-muih semua beli, tak sempat nak buat.

Minum air Vico panas kerana hari hujan. Sejuk sangat kalau minum air ais. Alhamdulillah atas rezeki ini. 

Khamis, 19 Februari 2026

Happy Chinese New Year 2026

Assalamualaikum dan selamat pagi. Alhamdulillah hari ini sudah masuk satu Ramadhan, hari pertama umat Islam berpuasa. Semoga dapat menjalani ibadah puasa dengan baik dan memperoleh pahala berlipat kali ganda. 

Hari ini office masih lagi sunyi. Boss dan staff yang menyambut raya Cina masih lagi cuti. Tahun ini sedikit sangat hamper dan limau yang diperoleh dari pembekal. Bawa balik limau pun lebih kurang 5 biji sahaja.

Mujur ada pemberian dari Wang dan Cindy. Wang pasti akan memberi setiap tahun pada kami. Terima kasih sangat :)

Cindy bagi yang dalam beg. Keropok yang diberi memang yang kami suka makan. Keropok durian kenangan sangat. Makan sejak kecil lagi.

Alhamdulillah... Dapat juga merasa buah tangan sempena Chinese New Year.

Isnin, 16 Februari 2026

Selamat Tinggal Pokok Jambu Susu

Assalamualaikum dan selamat pagi. Hari Sabtu lepas keluar shopping. Ramai betul orang. Jumpa auntie-auntie membeli barang dapur untuk raya Cina. Baiknya auntie walaupun tak kenal tolong bukakan plastik untuk saya dan seorang lagi tolong cari bunga kubis saiz kecil. Kalau tak jumpa, kami nak potong dan kongsi dua sebab terlalu besar. Shopping di Billion Parit Buntar.

Pokok jambu susu yang ditanam oleh arwah mak telah selamat ditebang. Ambil gambar ini untuk lihat di mana sarang tebuan. Abah kata ada tapi saya yang tak nampak. Abah dan abang bakar sarang tebuan pada waktu malam.

Kalau berbuah, buahnya akan jatuh di atas bumbung. Kuat betul bunyinya. Memang setiap kali jatuh rasa terkejut itu ada. Abah sampai boleh jual buah jambu ini di market sebab tak habis makan. Kini telah ditebang kerana nak buat rumah baru.

Khamis, 12 Februari 2026

Kotak Atas Almari Pun Nak Masuk?

Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Selamat menjalani kehidupan dan sentiasa dalam redhaNya. Balik dari kerja hari Isnin lalu, adik yang perasan pintu almari baju tercabut. Kemudian nampak ibu kucing atas almari sedang berehat. Di sebelahnya ada kotak isi bekas hantaran abang yang disimpan.

Dengar bunyi anak kucing, mesti ibunya letak atas almari. Tak sangka pula dia letak anaknya dalam kotak itu. 

Lagi mudahlah kerja. Angkat kotak terus letak di luar rumah. Habis bekas hantaran berbau busuk. Walaupun tak sampai sehari sudah ada kesan bau. Bekas plastik bolehlah basuh, kotak-kotak buang begitu sahaja. Kucing tahu sahaja tempat simpanan walaupun tinggi. Alhamdulillah, abah tolong pasangkan kembali pintu almari yang tercabut. Berat juga nak angkat untuk masuk landasannya. Mujur pintu almari tidak terjatuh terus.

Rabu, 11 Februari 2026

Buah Tangan dari Cameron Highlands dan Padang Besar

Assalamualaikum dan selamat pagi. Kakak sulung selepas sembuh dari pembedahan buang fibroid, terus aktif makan angin. Mungkin sudah lama dirancang bersama kawan-kawan. Alhamdulillah kakak sudah sihat dan kembali bekerja.

Buah tangan yang dibawa balik dari Cameron Highlands dan Padang Besar. Ada lagi badam tak buang kulit tapi tak sempat ambil gambar. Sudah habis dimakan. Biskut dalam tin simpan pada anak buah juga. Pasti dia suka nanti :)

Jumaat, 6 Februari 2026

Pasar Agogo Tanjung Piandang

Assalamualaikum dan selamat petang. Malam tadi berkesempatan mengunjungi Pasar Agogo di Tanjung Piandang. 

Kami pergi pukul 8.20 malam, orang tidak ramai lagi. 

Adik bongsu balik kampung sebab itu kami bersemangat sedikit untuk keluar malam. Nak dekat raya baru jumpa adik pula. Pengorbanan menjadi salah seorang ahli MPP di universiti. Tak sangka seberat itu tanggungjawab hingga tidak boleh balik cuti semester.

Semua gambar ini daripada sahabat. Tak rasa nak ambil gambar malam tadi.

Kami beli sushi, laksa, air dan bihun sup.  Semua kami bungkus untuk makan di rumah.

Isnin, 2 Februari 2026

Ular Pucuk @ Ular Daun Panjat Dinding Dapur

Assalamualaikum dan selamat malam. Kisah hari Ahad yang lalu 1 Februari 2026. Selepas solat Zohor masuk ke dapur untuk minum air. Kakak, abah dan adik sedang bersembang, semuanya santai sahaja. Adik lelaki pula sedang makan di dapur. Mereka sudah tahu ada ular pucuk @ daun di dapur. Saya yang baru datang ke dapur yang tidak tahu.

Abah tunjuk ke arah jam dinding. Saya nampak ada ekor warna hijau. Anak biawak atau mengkarungkah? Kakak kata ularlah. Barulah saya kalut cari buluh dan beri pada abah untuk pukul ular. Mentang-mentang ular daun boleh pula mereka bersembang seperti tiada apa-apa. 

Budak ini paling bising bila tengok abah pukul ular. Boleh pula dia jerit-jerit. Abah tarik ekornya kerana nak lepaskan diri melalui tingkap.

Adik lelaki yang nampak ular itu dulu. Kalau ular lain memang makan pun tak sempat..hihi.. Tapi bagi saya ular tetap ular. Menakutkan dan mengelikan. Risau pula nak lalu bawah pokok. Mungkin ada yang memerhati :)

Ahad, 1 Februari 2026

Kutip Hasil Daun Sup Matang @ Tua

Assalamualaikum dan selamat pagi. Kelmarin kutip daun sup yang sudah tua. Sayang juga dibiarkan tanpa buat apa-apa. Tuan yang tanamlah kena kutip sendiri. Bila sudah banyak pokok daun sup, orang memasak suka pilih yang muda, nampak lembut dan segar sahaja. Daun yang nampak keras sikit tidak mahu diambilnya.

Pokok daun sup pertama menjadi pada kali ini. Hasil biji benih pekan Isnin. Seronok melihat perkembangannya.

Kali kedua semai langsung tidak hidup daripada benih yang sama. Pokok lain pun sama tak hidup. Tak tahu dimana silapnya. Jaga pokok yang ada sahajalah.

Hasil kutipan daun sup. Cukuplah untuk buat memasak. Keras batangnya tapi suka tengok sebab pokoknya cantik.

Hasilnya jadilah bubur ayam. Potong batang daun sup kecil-kecil agar tidak keras. Alhamdulillah sedap. Abah kata boleh jual bubur ini. Di kedai tak sedap mana pun..