Khamis, 24 September 2015

Salam Aidiladha 1436H

Assalamualaikum....

Selamat hari raya aidiladha kepada semua umat Islam. Selamat menunaikan ibadah korban dan selamat menunaikan ibadah haji kepada jemaah yang terlibat. Syukur kerana kita masih bernafas dan diberi ruang untuk terus beribadat dan melaksanakan amal kebaikan...

Bagaimana ibadah korban di tempat anda? Di kampung saya, alhamdulillah sudah selesai mengorbankan 3 ekor lembu dan sedang diagihkan kepada penduduk dan golongan yang berhak. Sekarang masa untuk menyediakan masakan untuk kenduri. Juadah utamanya tentulah sup lembu.

kuih raya aidiladha 2015

Dalam kemalasan, siap juga kuih di atas. Satu sahaja kuih 'tunjuk'...Cuba teka yang mana satu? Setakat ini tiada lagi tetamu yang datang. Mungkin sibuk dengan ibadah korban. Kanak-kanak juga tidak menunjukkan diri lagi. Tanggapan mereka 'raya haji orang tak bagi duit'... Kalau bagi pun sikit sahaja... Macam-macam kanak-kanak zaman sekarang !!!

tulang rusuk lembu

Tulang rusuk lembu... sedap dibuat sup..nyummmy... 
Sekian.... Jemputlah datang beraya...

Sabtu, 19 September 2015

Kuih Raya Aidilfitri Yang Tidak Dapat Dihabiskan....

Assalamualaikum...

Tidak beberapa hari lagi umat Islam akan menyambur hari raya Aidiladha. Bagaimana dengan persiapan anda? Persiapan bukan sahaja menyediakan kuih muih tetapi amal ibadat dan ketaqwaan kita sebelum dan selepas hari raya Aidiladha. 

Hari raya Aidiladha yang yang berlaku pada pada 10 Zulhijjah di mana bulan umat Islam menunaikan ibadat Haji dan menyembelih korban. 

Sabda Nabi SAW. "Tidak ada hari yang lebih baik di sisi Allah untuk lakukan amalan kebaikan selain sepuluh hari terawal dalam bulan Zulhijjah". Para sahabat bertanya, adakah jihad fisabilillah tidak boleh menandingi amalan yang dilakukan pada sepuluh hari tersebut? Nabi bersabda, 'Jihad pun tidak boleh menandingi melainkan dia keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian tidak pulang dengan keduanya'. (Hr. Bukhari)

Daripada Ibnu Abbas telah berkata : Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Tiada daripada hari-hari yang begitu lebih di sisi Allah dan tiada amalan yang lebih disukai Allah daripada hari-hari sepuluh ini (1-10 Zulhijjah). Maka perbanyakkan tahlil dan takbir. Sesungguhnya ia merupakan hari-hari tahlil, bertakbir dan berzikir kepada Allah. Dan puasa sehari daripadanya menyamai puasa setahun dan amalan padanya digandakan 700 kali ganda". (HR Al-Baihaqi).

biskut raya aidilfitri

Oleh itu, marilah kita bersama-sama melipat ganda amalan di bulan Zulhijjah ini. Berbalik kepada tajuk entri. Gambar di atas merupakan kuih raya yang masih berbaki. Tiada sesiapa yang berminat untuk memakannya. Jarang di rumah saya kuih raya tak habis. Mungkin kali ini bilangan ahli keluarga sudah berkurangan kerana keluar berhijrah untuk mencari sesuap nasi.

Kuih-muih apabila masuk angin mesti tak sedapkan... Lembut dan tidak ranggup lagi. Rasanya pun lain.. Betul tak? Di sini saya nak kongsi bagaimana nak jadikan kuih yang masuk angin menjadi ranggup kembali.

Senang jer caranya, orang Utara kata kita perangat balik. Apa susah... Perangat tu apa? Kita bakar balik kuih yang masuk angin itu untuk seketika hingga kita puas hati dengan hasilnya.

Bukan sahaja kuih yang kita masak melalui bakar kita boleh hangatkan tetapi kuih yang bergoreng juga boleh. Contohnya kuih loyang atau kuih tempeyek yang sudah lemau, kita bakar dalam ketuhar. Kuih itu akan menjadi ranggup kembali. Senang bukan? Selamat mencuba.....

Jumaat, 28 Ogos 2015

Kisah Cermin Mata Baru

Assalamualaikum....

Apa khabar pembaca dan para blogger? Semoga berada dalam keadaan sihat belaka hendaknya. Amin... Baru-baru ini ada membeli cermin mata baru kerana cermin mata lama sudah kurang power dan ada kesan pecah-pecah pada cerminnya. Jadi memang kabur sangatlah...

Cermin mata yang dibeli RM280. Bingkai harga RM150, cerminnya pula pandai-pandai la kira sendiri yer. Aku ada bagi nipis sikit cerminnya, jadi harganya mahal sikitlah asalkan tak nampak tebal sangat. Rabun teruk sangat. Sejak sekolah rendah lagi perlu memakai spek.

cermin mata

Balik-balik aku pakai la.. nak pakai kat kedai terus takut pening sebab tak biasa. Sebelum tu ada juga test ok ke tak di kedai. Pakai tak berapa minit aku rasa macam adoi sakitnya telinga. Buka spek nampak kat hidung punya teruk berbekas di hidung tempat letak spek. Sakit, merah macam nak melecet kulit di situ. 

Jadi, senang cerita aku pergi kedai itu balik dan tukar bingkai baru. Dia potong sikit cermin bagi sesuai dengan bingkai baru. Nasib baik free of charge. Cuma ambil masa untuk menyiapkannya dalam masa satu jam.

Harap-harap okeylah cermin mata nie. Walaupun pada mulanya agak pening dan macam tidak balance antara kiri dan kanan. Lama-lama okey sikit. Pengajaran yang diperoleh adalah jangan cari bingkai yang cantik jer tapi tak selesa. Ingat bahawa dulu juga anda pernah mengalami sakit di telinga ketika pakai spek, tak ingat-ingat lagi ka? Itu ingatan untuk aku... Sangat sensitif....Tapi bila lama tidak membeli cermin mata membuatkan kita lupa....

Nota : Spek mata yang baru macam longgar dan suka melorot jer nak jatuh..tapi tak sakit ketika pakai... Tapi  bila pakai spek mata macam berat dan mudah rasa penat dan pedih. Adakah itu normal?